Thursday, July 23, 2009

bukan AKU cerminan AKU !

Apabila insan malang itu BUKAN AKU.......
insan malang itu BUKAN yang aku kenali !
insan malang itu BUKAN kalangan generasiku !
insan malang itu BUKAN anak watanku !
insan malang itu BUKAN teman mahupun sahabatku !
insan malang itu BUKAN saudaraku !
insan malang itu BUKAN keturunanku !
insan malang itu BUKAN bangsa seagamaku !

maka bergelimpanganlah bujur-bujur mayat yang malang itu,
terbujur dek
.....kebuluran,
.....malapetaka,
.....kerakusan manusia,
.....perlumbaan senjata,
.....kegilaan tampuk kekuasaan,

reput tidak bernisan,
pusara tidak bertanda,
tetulang hancur dimamah unsur alam,

Apabila insan malang itu IALAH AKU......
AKU merungut merintih,
AKU menadah menagih ,
AKU meraung disisih,
AKU melaung mencebeh,

Pada kala itulah,
AKU mulai tersentak,
AKU mulai tergadah,
Sebenarnya......
BUKAN AKU adalah CERMINAN AKU !


wie.sukhihotu09.

Cikgu Itu Tidak Mengerti.....

Cikgu itu tidak mengerti…….
Kenapa hari ini hati ini berwalang
Bermandikan air mata di relung hati.
Di manakah silap ajarannya ?
Kenapa cebokkan ilmu gagal meresap dalam nurani.
Adakah kerana muridnya kini, murid globalisasi?
Atau ilmu sudah lapuk ditelan zaman transformasi ?
Atau sudah berdebu dibaluti idea basi ?
Atau cikgu itu gagal menyongsong arus kerdipan globalisasi ?
Atau hanya berpaksikan semangat pendidik yang suci ?

Cikgu itu tidak mengerti……
Di mana cahaya semangat untuk meneruskan perjuangan ?
Kerana kekalahan muridnya pada persada cabaran,
Denyutan rohaniahnya semakin merenggut dan melemaskan.
Mampukah dia bertahan ?
Menongkah arus cabaran pascakemerdekaan,
Menyeka dugaan ,
Atas kekangan kendiri dan aral meneruskan titis harapan

Cikgu itu tidak mengerti……
Namun, jauh di umbi jantungnya,
Satu hari nanti, mereka bakal mengerti.
Apa itu kejayaan ?
Apa itu kecemerlangan ?
Apa itu kegemilangan ?
Apa itu genggaman kegigihan ?
Apa itu ertinya ajaran guru ?

Kini…cikgu itu sudah MENGERTI,
dia hanya suri teladan di bibir,
...kekadang boneka di hati,
dia hanya platform transit transisi,
...kekadang tetampan tanpa disedari,
dia hanya lilin di sanubari,
...kekadang menyuluh di siang hari,
dia hanya hamba yang sunyi,
...kekadang hidup menyendiri,
...tiada siapa yang peduli,
...entahkan hidup, entahkan mati.

Dia hanya mampu menyeka duka dalam tawanya
Yang penuh kehujanan dan membasahkuyupi hatinya yang kontang.

wie.sukhihotu09.